Tuesday, September 16, 2008

Tokoh Wanita Teladan...


YB Haniza Mohamed Talha
Ibu Moden Yang MenjadiWakil Rakyat


Hari ini, menyandang status sebagai seorang ibu bukan alasan untuk wanita terus-terusan terperuk di dapur, terasing dari arus kemodenan yang memutarkan dunia. Ruang untuk wanita menempati kedudukan penting dalam organisasi terbuka luas. Suara wanita sudah didengari dalam penggubalan keputusan dan polisi. Kebangkitan kaum wanita adalah gelombang yang sukar dibendung.
YB Haniza Mohamed Talha telah membuktikan gambaran di atas dalam Pilihan raya Umum ke-12 (PRU 12) baru-baru ini. Walaupun baru pertama kali bertanding di atas tiket Parti Keadilan Rakyat (Keadilan), para pengundi meyakini kredibiliti beliau lalu terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (ADUN) di kawasan Taman Medan, Petaling Jaya.

Penglibatan wanita kelahiran Batu Gajah, Perak ini dalam arena politik bukanlah perkara baru. Alah bisa tegal biasa, menerajui kehidupan sebagai ahli politik merupakan kelangsungan daripada gaya hidup aktifnya sebelum ini.

Pernah menyandang jawatan setiausaha kehormat NGO Jamaah Islah Ma-laysia (JIM) dan cergas menyumbang tenaga dalam sayap wanita parti Keadilan semenjak tahun 2000 lagi, Haniza merupakan antara model ibu moden yang boleh dicontohi.

Malah Haniza banyak menghabiskan masa di luar rumah meladeni keperluan masyarakat yang ditadbirnya, hal ehwal rumah tangga tidak terlepas pengetahuan beliau. Tugas sebagai suri rumah tangga masih ditunaikan seperti biasa. Cuma baru- baru ini saja Haniza mengambil pembantu rumah.
“Terpaksa ambil seorang sebab tidak berkesempatan nak berkemas,” kata beliau sambil tersenyum mengakui kesibukan yang turut dilantik sebagai Timbalan Speaker DUN Selangor.

Haniza yang pernah menetap di Kuala Kangsar ini telah mendidik ketujuh- tujuh anaknya supaya membiasakan diri dengan kerja-kerja rumah. Aktiviti di dapur mahupun membersihkan rumah,tidak terbatas kepada gender lelaki atau perempuan.

“Saya mengajar mereka ilmu mengurus rumah sejak dari usia enam tahun lagi. Anak perempuan atau lelaki tidak ada beza, mesti pandai menguruskan diri dan kerja-kerja di rumah. Saya tekankan kepada mereka, sebagai sebuah keluarga yang harmoni, mesti ada rasa tanggungjawabdan tidak ada sikap berkira.

Dari segi pemilihan pembantu rumah, saya tetapkan beberapa syarat. Dia mestilah tidak tinggal solat, kalau boleh yang boleh membaca al-Quran dan yang tahu batas-batas aurat sebagai Muslimah. Alhamdulillah saya dapat seorang pembantu yang diingini,” tutur beliau sambil menambah mereka sekeluarga menjadikan aktiviti berkelah sebagai perkara ‘mesti’ dalam diari keluarga setiap bulan.

Ikuti kisah selanjutnya di dalam Majalah i keluaran Karangkraf edisi September 2008.

Reference: http://www.karangkraf.com/e-majalah/i/default.asp

No comments: